EKSLUSIF! UPDATE TERKINI: 4 MAUT MAKAN “AYAM MASAK MERAH” KENDURI KAHWIN | Tiga
orang dipercayai keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis
kenduri kahwin di Tanjung Dawai, Merbok, Sabtu lepas meninggal dunia
pada Isnin.
TERKINI!! Seorang
lagi mangsa keracunan makanan kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung
Dawai dekat sini meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)
di sini menjadikan mangsa yang meninggal sebanyak 4 orang.
Mereka ialah pelajar Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung
Tempoyak, Bedong, meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari;
Mohammad Norraahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal
dunia 15 minit selepas itu.
Seorang lagi dikenali sebagai Ibrahim
Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu,
meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)Sungai Petani
kira-kira pukul 6.30 petang Isnin.
Nurshazana yang baru tamat latihan amali disahkan meninggal dunia di HSAH manakala Mohammad Norraahmad di Hospital Yan.
Pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)
Alor Setar memberitahu wartawan yang menunggu di hospital itu, jenazah
Nurshazana dan Mohammad Norraahmad dihantar ke HSB petang ini untuk
bedah siasat.
Menurut Hairul Azahar Harun, 33,
Nurshazana yang merupakan sepupunya mengadu sakit perut selepas pulang
makan kenduri di rumah sepupu mereka di Tanjung Dawai tiga hari lepas.
Beliau yang ditemui di HSB berkata ibu
tiri Nurshazana serta dua adiknya, lelaki berumur 8 tahun dan perempuan
berumur 10 tahun juga keracunan tetapi tidak serius.
“Nurshazana ditemui anggota keluarganya tertiarap dalam bilik tidurnya pagi ini lalu terus dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia di hospital itu,” katanya.
Hairul Azahar berkata Nurshazana anak
ketiga dari tujuh beradik berada dua hari lebih awal di rumah sepupu
mereka sebelum kenduri berlangsung. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Tempoyak malam tadi.
Ibu Mohammad Norrahmad, Norma Khalid,
45, yang ditemui di HSB berkata anak bongsu dari lima beradik itu
mengikuti suaminya, Yusof Arifin, 50 ke majlis kenduri tersebut Sabtu
lepas.
“Mereka makan ayam masak merah di rumah kenduri.” Malamnya mereka mengadu sakit perut. Apabila keadaan anak saya semakin teruk hari ini, kami bawa dia ke Hospital Yan. Dia tidak sedarkan diri sebaik tiba dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 tengah hari ini,” kata Norma.
Beliau berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Singkir, pada Selasa.
Sementara itu, difahamkan keluarga
Allahyarham Ibrahim membawa balik jenazahnya ke Besut petang ini untuk
dikebumikan. Setakat ini, 30 orang dilaporkan menerima rawatan di
hospital sebagai pesakit luar. Pihak hospital menasihatkan mereka yang
turut makan di majlis tersebut agar melakukan pemeriksaan di pusat
kesihatan secepat mungkin. Kebanyakkan mangsa dilaporkan makan pada
sebelah petang.
PUNCA SEBENAR AYAM MASAK MERAH
PUNCA SEBENAR “AYAM MASAK MERAH” PEMBAWA MAUT | Bakteria
salmonela dikenal pasti terkandung dalam hidangan ayam goreng masak
merah yang disediakan secara gotong-royong sehingga menyebabkan
kematian.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr
Ismail Abu Taat berkata, sebahagian daripada 130 bekalan ayam yang
dihantar untuk majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu
lalu juga didapati sudah busuk.
Menurutnya, hasil laporan siasatan
terperinci yang dilakukan mendapati ayam yang busuk diasingkan manakala
sebahagian yang masih elok digunakan untuk memasak.
“Ayam kemudian digoreng pada jam 9 pagi hingga 4 petang 27 September sebelum disimpan di suhu bilik,” katanya kepada media di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, semalam.
Ismail berkata, keadaan penyimpanan yang
tidak sesuai juga boleh menyebabkan bakteria merebak selain kaedah
menyedia yang tidak cukup tempoh memasak juga boleh menjadi faktor
penyakit berkenaan.
“Setelah disiasat mendapati, ayam goreng yang dicampurkan kuah sambal pada 28 September untuk dihidangkan kepada pengunjung majlis perkahwinan mengandungi mikroorganisme yang dipanggil salmonella,” katanya.
Ismail berkata, individu yang dikesan
terkena jangkitan bakteria berkenaan akan mengalami simptom demam,
cirit-birit, perut memulas dalam tempoh 12 jam selepas makan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan banyak air dalam badan dan lebih serius boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini lebih kurang
270 mangsa menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini dan dua
daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Menurutnya, di HSAH, seramai 127 pesakit mendapatkan rawatan di mana 38 dimasukkan ke wad manakala 89 sudah dibenarkan pulang.
Daripada jumlah itu, katanya, seorang
pesakit berusia 58 tahun berada di ICU manakala seorang lagi di ICU
berusia 56 tahun baru sahaja dilaporkan meninggal dunia jam 7.15 malam
semalam.
Sementara itu, katanya, di Hospital
Daerah Yan, seramai 138 kes dirawat di mana 62 ditahan wad manakala 68
sudah dibenarkan pulang.
Katanya, seramai 18 kes dirujuk di lain-lain hospital. Ismail bagaimanapun meminta orang ramai
yang mengunjungi majlis kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan
segera bagi memastikan tahap kesihatan mereka.
No comments:
Post a Comment