Tuesday, 1 October 2013

*update kisah dari Malaysia: al-fatihah buat mangsa keracunan makanan*

EKSLUSIF! UPDATE TERKINI: 4 MAUT MAKAN “AYAM MASAK MERAH” KENDURI KAHWIN | Tiga orang dipercayai keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin di Tanjung Dawai, Merbok, Sabtu lepas meninggal dunia pada Isnin.

TERKINI!! Seorang lagi mangsa keracunan makanan kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini menjadikan mangsa yang meninggal sebanyak 4 orang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata Wan Razali Yaakob, 56, disahkan meninggal dunia pukul 7.15 malam selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu pagi semalam.
Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari; Mohammad Norraahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia 15 minit selepas itu.

Seorang lagi dikenali sebagai Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)Sungai Petani kira-kira pukul 6.30 petang Isnin.
Nurshazana yang baru tamat latihan amali disahkan meninggal dunia di HSAH manakala Mohammad Norraahmad di Hospital Yan.

Pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar memberitahu wartawan yang menunggu di hospital itu, jenazah Nurshazana dan Mohammad Norraahmad dihantar ke HSB petang ini untuk bedah siasat.

Menurut Hairul Azahar Harun, 33, Nurshazana yang merupakan sepupunya mengadu sakit perut selepas pulang makan kenduri di rumah sepupu mereka di Tanjung Dawai tiga hari lepas.
Beliau yang ditemui di HSB berkata ibu tiri Nurshazana serta dua adiknya, lelaki berumur 8 tahun dan perempuan berumur 10 tahun juga keracunan tetapi tidak serius.
“Nurshazana ditemui anggota keluarganya tertiarap dalam bilik tidurnya pagi ini lalu terus dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia di hospital itu,” katanya.
Hairul Azahar berkata Nurshazana anak ketiga dari tujuh beradik berada dua hari lebih awal di rumah sepupu mereka sebelum kenduri berlangsung. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyak malam tadi.
Ibu Mohammad Norrahmad, Norma Khalid, 45, yang ditemui di HSB berkata anak bongsu dari lima beradik itu mengikuti suaminya, Yusof Arifin, 50 ke majlis kenduri tersebut Sabtu lepas.
“Mereka makan ayam masak merah di rumah kenduri.
” Malamnya mereka mengadu sakit perut. Apabila keadaan anak saya semakin teruk hari ini, kami bawa dia ke Hospital Yan. Dia tidak sedarkan diri sebaik tiba dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 tengah hari ini,” kata Norma.
Beliau berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Singkir, pada Selasa.
Sementara itu, difahamkan keluarga Allahyarham Ibrahim membawa balik jenazahnya ke Besut petang ini untuk dikebumikan. Setakat ini, 30 orang dilaporkan menerima rawatan di hospital sebagai pesakit luar. Pihak hospital menasihatkan mereka yang turut makan di majlis tersebut agar melakukan pemeriksaan di pusat kesihatan secepat mungkin. Kebanyakkan mangsa dilaporkan makan pada sebelah petang.


PUNCA SEBENAR AYAM MASAK MERAH

PUNCA SEBENAR “AYAM MASAK MERAH” PEMBAWA MAUT | Bakteria salmonela dikenal pasti terkandung dalam hidangan ayam goreng masak merah yang disediakan secara gotong-royong sehingga menyebabkan kematian.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, sebahagian daripada 130 bekalan ayam yang dihantar untuk majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu juga didapati sudah busuk.
Menurutnya, hasil laporan siasatan terperinci yang dilakukan mendapati ayam yang busuk diasingkan manakala sebahagian yang masih elok digunakan untuk memasak.
“Ayam kemudian digoreng pada jam 9 pagi hingga 4 petang 27 September sebelum disimpan di suhu bilik,” katanya kepada media di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, semalam.
Ismail berkata, keadaan penyimpanan yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan bakteria merebak selain kaedah menyedia yang tidak cukup tempoh memasak juga boleh menjadi faktor penyakit berkenaan.
“Setelah disiasat mendapati, ayam goreng yang dicampurkan kuah sambal pada 28 September untuk dihidangkan kepada pengunjung majlis perkahwinan mengandungi mikroorganisme yang dipanggil salmonella,” katanya.

Ismail berkata, individu yang dikesan terkena jangkitan bakteria berkenaan akan mengalami simptom demam, cirit-birit, perut memulas dalam tempoh 12 jam selepas makan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan banyak air dalam badan dan lebih serius boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih kurang 270 mangsa menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini dan dua daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Menurutnya, di HSAH, seramai 127 pesakit mendapatkan rawatan di mana 38 dimasukkan ke wad manakala 89 sudah dibenarkan pulang.

Daripada jumlah itu, katanya, seorang pesakit berusia 58 tahun berada di ICU manakala seorang lagi di ICU berusia 56 tahun baru sahaja dilaporkan meninggal dunia jam 7.15 malam semalam.
Sementara itu, katanya, di Hospital Daerah Yan, seramai 138 kes dirawat di mana 62 ditahan wad manakala 68 sudah dibenarkan pulang.

Katanya, seramai 18 kes dirujuk di lain-lain hospital. Ismail bagaimanapun meminta orang ramai yang mengunjungi majlis kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan segera bagi memastikan tahap kesihatan mereka.

****
NOTA KAKI MAMA UMAR: kadang-kadang bila sesuatu memang telah ditakdirkan, maka ianya akan tetap terjadi. Saya lebih melihat kepada perasaan tuan rumah ketika ini. dengan rasa bersalah, rasa ralat, kesal dan sebagainya mungkin. atau mungkin juga di pihak tukang masak atau catering. tapi selalunya kawasan kampung, memang gotong royong ramai-ramai masaknya. hmmm..alahai. alfatihah untuk kesemua mangsa.